Editor : Safarina dan Haikal Musa
Pada tanggal 30 Jun 2024, Hotel Casuarina Ipoh menjadi saksi kepada malam yang penuh gilang-gemilang apabila Majlis Anugerah Kolej-kolej Kediaman Kali Ke-17 dianjurkan dengan jayanya oleh Kolej Awang Had Salleh. Majlis yang penuh berprestij ini diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada seluruh kalangan Majlis Mahasiswa Kolej, pentadbiran, dan Felo-felo, khususnya dalam bidang kepimpinan.
Majlis ini dirancang untuk meraikan semua pelajar dan kakitangan yang telah menunjukkan komitmen luar biasa sepanjang tempoh kepimpinan mereka. Dr. Mardiana binti Ismail, pengetua kolej, telah memainkan peranan penting dalam memastikan segala persiapan diatur dengan rapi, menjadikan majlis ini satu kejayaan yang tidak dapat dilupakan. Majlis ini juga turut diserikan lagi dengan kehadiran Puan Hjh Maskana binti Ahmad, Penolong Pandaftar Kanan, Jabatan hal Ehwal pelajar & Alumni, Tn.Haji Mohamad Najib bin Mohamed dari Jabatan Bendahari dan wakil Bahagian Komunikasi Koprat (BKK).
Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, dalam ucapannya menekankan hasrat universiti untuk melahirkan graduan holistik yang unggul dari segi akhlak dan akademik. Menurut beliau, “Kepimpinan yang baik bukan sahaja dilihat dari kejayaan akademik, tetapi juga dari sudut pembentukan karakter yang cemerlang dan integriti yang tinggi.”
Sebanyak sembilan kategori anugerah kepimpinan individu lestari telah dipertandingkan pada malam tersebut. Kolej Ungku Omar berjaya mencuri tumpuan apabila merangkul lima daripada sembilan kategori yang dipertandingkan, sekaligus dinobatkan sebagai Kolej Bitara tahun ini. Manakal bagi Penasihat Lestari pula telah dimenangi oleh Kolej Harun Aminurrashid.
Majlis ini tidak hanya sekadar mengiktiraf pencapaian, tetapi juga memberi harapan agar semua pelajar dapat terus komited dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh dedikasi. Seperti kata pepatah, “Kalah dan menang adat pertandingan,” dan semangat ini diharapkan dapat terus membakar semangat semua pihak yang terlibat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Majlis Anugerah Kolej-kolej Kediaman Kali Ke-17 ini bukan sahaja mengiktiraf usaha dan pencapaian individu, tetapi juga memperkukuh semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam komuniti kolej. Dengan kepimpinan yang baik dan komitmen yang tinggi, harapan untuk melihat generasi pemimpin masa depan yang berkualiti pasti akan tercapai.